Sultan Selangor sukacita pembinaan hospital di Kapar - Utusan Malaysia

Sultan Selangor sukacita pembinaan hospital di Kapar

SULTAN Sharafuddin (dua kanan) berkenan menghadap Dr. Adham di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam semalam.IHSAN FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila dimaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan sebuah hospital awam kerajaan di daerah Kapar.

Sultan Selangor yang berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di Istana Bukit Kayangan di sini semalam turut mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan memberi tumpuan untuk menaiktaraf hospital-hospital awam di kawasan luar bandar.

Titah baginda, dengan tumpuan yang diberikan itu, rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang lebih baik.

Pada masa sama, baginda turut menyeru sekali lagi supaya rakyat mendapatkan suntikan vaksin masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak ragu-ragu meskipun perlu mengambil suntikan pada bulan Ramadan.

“Rakyat perlu terus kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan membiasakan diri untuk menjalani kehidupan seharian mengikut norma-norma baharu demi menghapuskan penularan wabak Covid-19,” titah baginda menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Turut berangkat dalam pertemuan tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman.

Dalam pertemuan tersebut juga, Sultan Selangor juga diberi taklimat ringkas mengenai situasi semasa di hospital-hospital awam kerajaan dalam menangani kes-kes berkaitan wabak Covid-19.

Terdahulu, perancangan pembinaan hospital tersebut telah lama dibuat bagi menampung peningkatan ketara bilangan pesakit di negeri ini khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan akan membina Hospital Kapar di Klang dengan menyediakan 1,000 katil.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN