Sultan Selangor dukacita individu keluar kata-kata jejas akidah - Utusan Malaysia

Sultan Selangor dukacita individu keluar kata-kata jejas akidah

Sultan Sharafuddin Idris Shah berzikir dalam sebuah masjid di sini baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam khususnya di negeri ini yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan akidah dan keislaman mereka.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, sebarang iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan yang berhasrat untuk keluar daripada Islam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya akidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu daripada agama.

 Menurut beliau, asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah SWT dengan mengucap kalimah syahadah dan perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T. yang berhak disembah dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya.

“Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan akidah sepanjang kehidupannya.

 “Oleh demikian, tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar daripada agama apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap Islam dan Allah SWT. 

“Baginda sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat daripada Allah SWT kepada umat Islam. Kita hendaklah menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Munir berkata, Sultan Selangor bertitah umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada akidah Islam dan tidak mudah terpesong dari akidah Islam sebenar. 

Jelas beliau, seriusnya kesalahan perbuatan murtad itu digambarkan dalam bentuk hukuman mengikut hukum syarak bagi seseorang yang murtad dan yang telah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafie.

“Tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, Sultan Selangor telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan  meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat. 

Jelasnya, sebagai umat Islam dan rakyat di negara ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosedur yang telah digariskan di bawah undang-undang.  

“Baginda turut menegaskan bahawa MAIS dan JAIS sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

“Malah, Baginda juga menitahkan agar MAIS dan JAIS sentiasa memelihara dan mempertahankan Aqidah Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN