IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri Perak di sini malam tadi.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Majlis berlangsung selama dua hari mulai semalam melibatkan hampir 40 peserta.
Sultan Nazrin menyampaikan hadiah kepada johan qari, Mohd. Kamaruzaman Daud dari Daerah Kinta dan johan qariah, Munirah Razali dari Manjung.
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, plak, sijil dan hadiah iringan.
Naib johan qari dimenangi Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Daerah Taiping manakala Mohamad Sahran Termizi dari Daerah Kinta di tempat ketiga.
Bagi kategori qariah, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi peserta dari Daerah Kinta, Norhazira Nabila Muhammad Kamel dan Noor Suhaiza Chulan.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000, plak, sijil dan hadiah iringan.
Johan qari dan qariah tilawah serta hafazan akan mewakili negeri ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 13 hingga 18 Jun ini. – UTUSAN ONLINE