Sultan Johor perkenan tambah bilangan jemaah masjid dan surau - Utusan Malaysia

Sultan Johor perkenan tambah bilangan jemaah masjid dan surau

Datuk Yahya Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan pertambahan jemaah untuk solat fardu dan solat Jumaat di negeri ini berkuat kuasa esok.

Mufti negeri, Datuk Yahya Ahmad berkata, jumlah jemaah diputuskan berdasarkan keadaan dan perkembangan situasi semasa Covid-19 di setiap daerah.

Menurutnya, bagi daerah Johor Bahru dan Kulai, perubahan dibenarkan kepada seramai 100 jemaah tidak termasuk ahli jawatan kuasa (AJK) dan pegawai masjid atau surau untuk solat fardu dan solat Jumaat. 

“Perubahan ini dibuat dengan mengambil kira faktor kekerapan daerah Johor Bahru dan Kulai dikategorikan sebagai zon merah.

“Bagi lapan daerah lain iaitu Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Mersing dan Tangkak, perubahan adalah kepada satu pertiga kapasiti masjid atau surau untuk kedua-dua solat tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada 8 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi mengumumkan keputusan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dengan had kepada 40 jemaah sahaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Yahya berkata, kuliah agama di masjid dan surau juga dibenarkan serta perlu dilaksanakan oleh penceramah dan guru takmir dalam daerah sahaja.

“AJK masjid dan surau harus sentiasa bertanggungjawab memastikan dan menguatkuasakan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Kami berharap semua pihak memberikan kerjasama dan bersungguh-sungguh dalam usaha membendung penularan Covid-19 di negeri ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN