JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II) kepada Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.
Kurniaan darjah kebesaran pada Majlis Pengurniaan Darjah bersempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda hari ini berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad turut dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Dato.
Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang juga membawa gelaran Dato pula dikurniakan kepada Pegawai Daerah Johor Bahru, Dato’ Abdul Rahman Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.
Sementara itu, lima penerima dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ).
SIJ dikurniakan kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil; Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani; Pengarah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din dan Kadi Besar Negeri Johor, Halid Sono. – UTUSAN ONLINE