Suami isteri perlu RM20,000 tampung dua pembedahan - Utusan Malaysia

Suami isteri perlu RM20,000 tampung dua pembedahan

SHAHRIL Painoh (tengah) bersama isterinya, Normaliz Arbain (kanan) menunjukkan imbasan x-ray tangan kirinya yang mengalami kecederaan kepada Pengerusi Ekonomi Golongan B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi di Taman Renggam Jaya. Pemberita/Gambar: MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Suami isteri di Taman Renggam Jaya, di sini memohon ihsan pihak yang bersimpati dengan mereka kerana memerlukan kos pembedahan sebanyak RM20,000. 

Shahril Painoh, 44, yang mengalami kemalangan pada 2016 menyebabkan tulang pada lengan kirinya hancur sehingga menyebabkan anggota badan itu kini longlai sejak insiden tersebut.

Manakala isterinya, Normaliz Arbain, 42, pula disahkan memiliki dua injap jantung berlubang sejak lebih setahun yang lalu dan kini sentiasa berada dalam lemah serta tidak boleh terlalu penat.

Shahril berkata, mereka kini hanya bergantung hidup pada anak sulungnya yang bekerja sebagai kerani dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan manakala perusahaan kecil-kecilan membuat makanan sejuk beku terpaksa dihentikan.

Shahril berkata, dia pernah mendapat elaun ilat sementara daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan wang itu sudah habis digunakan bagi menampung hidup termasuk membayar hutang-piutang.

“Saya mengalami kemalangan di Yong Peng pada 2016 apabila lori dibawa dirempuh sebuah lori lain dan akibatnya, kaki kiri saya patah dan dimasukkan besi manakala tangan kiri saya longlai sehingga kini.

“Saya sudah menjalani dua kali pembedahan termasuk memasukkan besi di tangan kiri, namun, tidak berjaya dan pada hari ini saya sepatutnya dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pembedahan kali ketiga dan kosnya sebanyak RM8,000.

“Isteri saya pula memerlukan RM12,000 untuk kos pembedahan di Hospital Sultanah Aminah, namun, sehingga kini kami buntu kerana kami memang tidak ada duit sebanyak itu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Shahril berkata, isterinya kini bergantung kepada ubat-ubatan dan tidak boleh melakukan kerja kerja di rumah selain banyak berehat.

“Doktor berkata, kemungkinan sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri nanti ada kekosongan untuk pembedahan isteri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ekonomi Golongan B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi berkata, pihaknya akan berhubung dengan agensi kerajaan berkaitan bagi merujuk kes itu dan memohon sumbangan orang ramai bagi meringankan beban pasangan terbabit.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Shahril di talian 011-1081 6339 atau menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Shahril Painoh 0114741100017561. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN