KLUANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung kos pembedahan sepasang suami isteri di Taman Renggam Jaya, di sini yang sebelum ini memohon bantuan sebanyak RM20,000 bagi menampung dua kos operasi pembedahan yang perlu dijalani mereka.
Menurut Shahril Painoh, 44, yang kini sudah selamat menjalani pembedahan memasukkan besi bagi memulihkan tangan kirinya yang longlai berkata, dia mendapat maklum balas berkenaan daripada pihak Perkeso yang menziarahi keluarganya baru-baru ini.
Katanya, dia bersyukur dan terharu kerana mendapat perhatian Perkeso dan bantuan daripada orang ramai yang menyumbangkan kira-kira RM4,000 kepada dirinya dan isteri selepas kisah mereka tersiar di akhbar ini pada 4 Mac lalu.
“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan kali ketiga ini untuk memasukkan besi di tangan kiri yang sebelum ini terpaksa diikat kerana satu inci tulang hancur akibat kemalangan pada 2016.
“Cuma terdapat jangkitan kuman dan doktor menahan saya untuk menerima antibiotik bagi membunuh kuman yang terjadi di kawasan pembedahan yang dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pihak berkenaan terutama Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Simpang Renggam kerana mengenengahkan perkara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Shahril, isterinya Normaliz Arbain, 42, yang disahkan memiliki dua injap jantung berlubang sejak lebih setahun yang lalu dan memerlukan RM12,000 juga terharu dengan sumbangan daripada orang ramai.
“Isteri saya gembira kerana Perkeso akan menanggung bil-bil pembedahan dan rawatan kerana kami layak dan tak lupa kami ucapkan terima kasih dan mendoakan yang baik-baik kepada semua penderma termasuk persatuan bekas polis menyumbangkan sebanyak RM3,200.
“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan kami ketika ini walaupun pada mulanya saya terpaksa meminjam RM8,000 daripada seorang saudara saya yang prihatin bagi mendahulukan pembayaran kepada pihak hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Fadel berkata, pihaknya bersyukur kerana kes berkenaan berjaya diselesaikan dengan bantuan Perkeso yang memberikan kerjasama baik untuk memudahkan permohonan suami isteri berkenaan.- UTUSAN ONLINE