Suami isteri didakwa pengubahan wang haram - Utusan Malaysia

Suami isteri didakwa pengubahan wang haram

PASANGAN suami isteri tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pengurus hartanah syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan menerima rasuah berjumlah RM990,579 di antara 2018 hingga 2019.

Tertuduh, Len Chia Whey, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Turut didakwa ialah isterinya, Tong Karen, 36, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim.

Mengikut satu pertuduhan, Chia Whey didakwa menerima suapan wang tunai bernilai RM232,593 daripada seorang individu sebagai upah membantu Syarikat KK Chong Synergy Sdn. Bhd. untuk mendapatkan empat projek sub-kontrak pam minyak masing-masing di Mukim Semabok, Melaka Tengah ; Pekan Tanjong Karang dan Mukim Ijok, Kuala Selangor dan Mukim Tebrau di Johor Bahru.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya sendiri di Setia Eco Glades, Cyberjaya kira-kira pukul 3 petang hingga 5 petang pada 24 Mei 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seskyen 24 (1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh juga didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM757,986 ke dalam akaun simpanan miliknya di enam buah bank selain memiliki pelbagai jenis mata wang asing seperti Pound Sterling, Euro, Yen, Yuan, Hong Kong Dollar, Kronur, Peso, Rupiah, Bath, US Dollar dan Singapura Dollar.

Bagi pertuduhan terhadap Karen pula, dia yang merupakan jurumekap sambilan didakwa lima pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram bernilai RM188,000 termasuk pemindahan wang bagi bayaran pendahuluan sebuah kenderaan jenis Mini Cooper S Clubman F54, nombor pendaftaran VBT 921.

Pertuduhan pengubahan wang haram tersebut, pasangan suami isteri terbabit melakukan perbuatan itu di Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Sepang dan Shah Alam bermula April 2018 hingga September 2019.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide dan Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM90,000 bagi 15 pertuduhan dihadapi Chia Whey, manakala RM30,000 terhadap Karen dengan seorang penjamin berserta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman dikurangkan berikutan akaun mereka telah dibekukan dan semua pertuduhan dibicarakan bersama.

“Malah, ibu bapa Karen juga mempunyai penyakit angin ahmar dan adik bongsunya mempunyai penyakit mental yang dirawat di Sabah serta berharap pasport tidak diserahkan kepada mahkamah,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan Chia Whey dijamin RM70,000 sementara Karen sebanyak RM30,000 bersama seorang penjamin dan tertuduh boleh memohon pelepasan pasport sementara untuk sebarang keperluan melawat adiknya serta tarikh sebutan semula kes pada 19 April hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya