JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan berhubung tindakannya menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, beliau akan memberi kerjasama penuh sekiranya perlu berbuat demikian pada bila-bila masa.
“Itu terpulang kepada mereka kalau ada kes,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hab Pertanian Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan Orang Kurang Upaya (OKU) Johor Bahru di Taman Tanjung Puteri Resort di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang serta Pengerusi Persatuan sokongan kebajikan wawasan OKU Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Malik.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan kredibiliti SPRM untuk membuktikan sebagai agensi bebas, berkecuali dan profesional dengan menyiasat Perdana Menteri.
Jelas Guang Eng, ini susulan pendedahan Steven Choong yang berpaling tadah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Muhyiddin menjanjikannya satu jawatan rasmi jika mengalih sokongan.
“SPRM sekurang-kurangnya perlu menyatakan secara terbuka bahawa usaha melompat parti kerana wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan amalan rasuah,” kata Guan Eng lagi.
Mengenai saranan sebuah parti politik yang mencadangkan wakil rakyat yang mahu melompat parti perlu mengosongkan kerusi terlebih dahulu, Steven Choong berpendapat itu adalah pandangan mereka.
“Itu hak mereka untuk kata apa sahaja kerana ini adalah negara demokrasi,” katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata, agensi kerajaan berkaitan terutama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu membantu ahli persatuan tersebut dalam menjayakan projek berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, ketika ini 10 ahli persatuan tersebut mengusahakan tanaman limau kasturi, lada besar, lemon dan kacang panjang di kawasan tersebut.
Tambahnya, projek perintis persatuan tersebut dicadangkan untuk dikembangkan di kawasan komuniti bukan sahaja OKU tetapi juga penduduk setempat. -UTUSAN ONLINE