Status PKPB, PKPP kekal untuk 2 minggu lagi - Utusan Malaysia

Status PKPB, PKPP kekal untuk 2 minggu lagi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada negeri yang akan diubah status pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai pada 1 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam negeri atau wilayah dikekalkan status PKPB manakala 10 negeri atau wilayah terus berstatus PKPP masing-masing.

Negeri yang terlibat dengan status PKPB sehingga 14 April depan masih lagi Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, dan Kelantan sementara Sarawak bermula esok hingga 12 April.

“Kesemua negeri yang terlibat ini dilaporkan masih mencatatkan pertambahan banyak zon merah walaupun trend kes baharu ada penurunan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

PKPP turut kekal di Perlis, Kedah (kecuali PKPB di Daerah Kuala Muda), Perak, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan (kecuali PKPB Daerah Seremban), Pahang, Terengganu dan Sabah.

Pengekalan status terlibat kata beliau, diputuskan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam atas cadangan dan penilaian risiko daripada pihak Kementerian Kesihatan sendiri.

Secara keseluruhan, perkembangan kes Covid-19 di kebanyakan negeri menunjukkan trend penurunan namun ada beberapa negeri masih merekodkan trend turun-naik dan meningkat.

Bagaimanapun ujar beliau, kegiatan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain melalui konsep gelembung perjalanan hijau.

Kaedah tersebut tegas beliau, malahan hanya boleh menggunakan syarikat dan agensi pelancongan tempatan yang berdaftar sah dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Rentas daerah dalam negeri yang sama ketika ini tetap dibenarkan kecuali penduduk di Sabah dan Sarawak, ia dilarang atas keputusan pihak kerajaan negeri terbabit,” kata Ismail Sabri.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN