SSM lanjut pengecualian kompaun sehingga akhir tahun ini - Utusan Malaysia

SSM lanjut pengecualian kompaun sehingga akhir tahun ini

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan pelanjutan tarikh tamat inisiatif pengecualian kompaun atas urusan kelewatan pendaftaran sehingga 31 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia meliputi segala pembaharuan semula dan pendaftaran perniagaan baharu.

“Inisiatif ini lanjutan pelaksanaan pengecualian dilakukan 17 Mac hingga 31 Disember lalu sebelum dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun depan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, pengecualian di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 itu diperkenalkan bagi membantu komuniti perniagaan terkesan teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ramai peniaga dan bakal peniaga terutama di luar bandar tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu yang menyebabkan mereka dikompaun.

“Pelanjutan inisiatif ini dijangka memberi penjimatan berjumlah RM13.7 juta yang dimanfaatkan lebih 330,000 komuniti peniaga dalam mengharungi cabaran pemulihan ekonomi pasca PKP. Kementerian berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu mereka meneruskan perniagaan dan menggalakkan lebih ramai lagi bakal peniaga menceburi bidang perniagaan.

“Ia dijangka merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi domestik di Malaysia yang terkesan akibat Covid-19 selain pelbagai lagi inisiatif dilaksanakan SSM,” katanya.

Beliau juga menyambut baik usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pada 17 Mac lalu.

Sebanyak 20 inisiatif strategik dengan dana RM20 bilion bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat rentan.

Ini jelas beliau, turut merangkumi dua inisiatif yang dilaksanakan SSM, sebuah agensi di bawah kementerian dalam agenda Pemerkasa bagi mengurangkan beban entiti perniagaan.

“Melalui Inisiatif kesembilan, SSM bersetuju nilai ambang keterhutangan dinaik daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi bantu syarikat ada masalah kewangan dan berisiko muflis,” katanya.

SSM juga jelas Alexander, memberi kemudahan pendaftaran percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar pengajian tinggi sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

“Inisiatif ke-18 pula, golongan orang kurang upaya berpeluang mendaftar dan perbaharui perniagaan dengan SSM secara percuma sebagai galakan menerokai bisnes,” katanya.

Untuk maklumat lanjut inisiatif tersebut, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan SSM menerusi talian 03-77214000 atau e-mel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya