SPRM beri jaminan siasat kes ugut, sogok ahli Parlimen pembangkang - Anwar - Utusan Malaysia

SPRM beri jaminan siasat kes ugut, sogok ahli Parlimen pembangkang – Anwar

ANWAR Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan tidak akan menutup mana-mana kes terutama membabitkan dakwaan ugutan dan sogokan yang diterima ahli Parlimen pembangkang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di sini hari ini.

Anwar berkata, Azam juga menafikan dakwaan bahawa SPRM melindungi mana-mana individu.

“Dia (Azam Baki) beri jaminan bebas dan telus dan tak akan tutup mana-mana kes kalau benar ada rasuah,” katanya.

Anwar tiba di Ibu pejabat SPRM kira-kira jam 2.53 petang sebelum mengadakan pertemuan selama lebih sejam bersama Azam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau turut menyatakan rasa tidak puas hati kerana sehingga kini ada pemimpin kerajaan yang berada di tampuk kerajaan dan masih berkuasa tetapi seolah-olah dilepaskan daripada siasatan SPRM.

Pada pertemuan sama, Anwar turut berkongsi dakwaan dan maklumat kepada SPRM berhubung bekas Ahli Parlimen PKR yang kini ditekan dan disogok oleh individu-individu tertentu.

“Saya tegaskan kalau benar ada kes, bukti dan fakta yang kuat tentang perilaku rasuah, saya tak (tidak) datang untuk pertahankan.

“Tetapi, saya beritahu ada kes khusus seorang mantan menteri mengadu pada saya, beliau diberi jaminan seorang menteri kanan kalau beliau lompat parti, dia akan dibebaskan dari tindakan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Azam menerusi kenyataan akhbar berkata, beliau telah mendengar beberapa isu semasa berbangkit dikemukakan Anwar pada pertemuan hari ini.

“Saya memberi jaminan bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang dipantau oleh lima panel bebas akan bertindak secara profesional mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa diberikan.

“Kami menghargai sokongan Anwar terhadap SPRM dalam usaha membanteras rasuah secara berkesan di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mendakwa Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Xavier Jayakumar ada menerima tekanan oleh seorang menteri kanan Perikatan Nasional (PN).

Dakwaan itu timbul susulan peletakan jawatan Xavier sebagai Naib Presiden PKR dan mengumumkan keluar parti pada pertengahan bulan ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN