SOP pusat asuhan kanak-kanak, tadika ditambah baik - Utusan Malaysia

SOP pusat asuhan kanak-kanak, tadika ditambah baik

SITI Zailah Mohd. Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Prosedur operasi standard (SOP) pusat asuhan kanak-kanak dan tadika akan diteliti dan ditambah baik bagi mengelak kes penderaan sebagaimana yang tular baru-baru ini tidak berulang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya memandang serius kes itu kerana melibatkan soal keselamatan anak-anak kecil.

“Dalam masa sama juga, golongan ibu bapa dinasihatkan supaya melakukan semakan terhadap latar belakang pusat asuhan dan tadika terlebih dahulu sebelum menghantar anak masing-masing.

“Pastikan tadika atau pusat asuhan itu berdaftar dan mendapat kelulusan pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin di Kompleks Tarbiah Islamiah Chetok (Komtik) di sini hari ini.

Zailah mengulas kejadian video tular di sebuah tadika swasta Selangor yang memaparkan aksi seorang guru wanita mengangkat dan menghempas muridnya sambil disaksikan kanak-kanak lain.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rantau Panjang itu menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan apa sahaja kes penderaan supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai juga diminta melaporkan kepada pihaknya jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan pusat asuhan atau tadika yang tidak berdaftar.

“Selain tidak berdaftar, antara aduan lain kita terima termasuklah pengasuh atau tenaga pengajar tidak mempunyai pengetahuan dan ilmu berkait dengan penjagaan kanak-kanak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN