ISKANDAR PUTERI: Soal perancangan pembahagian 13 kerusi Parlimen antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak perlu didedahkan kepada umum.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghebohkan hal dalaman UMNO dan Bersatu itu adalah tidak wajar kerana perbincangan mengenainya belum selesai dan diputuskan.
“(Setakat ini) tidak ada bincang lagi, kalu nak bincang (perlu secara) dalaman. Kalau nak bincang, biar kita (UMNO dan Bersatu) bincang dahulu, tak payah cerita dekat orang,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TMB) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Program Ceria Sekolah di Restoran Seri Pantai, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor.
Mohamed Azmin dilapor mendedahkan pembahagian kerusi Parlimen adalah antara punca keretakan dalam kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.
Menurut Mohamed Azmin, UMNO tidak seharusnya memusnahkan kerajaan yang dibina bersama-sama sejak setahun lalu hanya kerana 13 kerusi yang menjadi pertikaian.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, pihaknya sudah mempunyai formula pembahagian kerusi contohnya di Parlimen Pagoh yang dimenangi Bersatu, perlu kekal ditandingi parti itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keperluan untuk menggubal Akta Lompat Parti, Mahdzir berpendapat bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan akta tersebut.
Jelasnya, ia terpulang kepada wakil rakyat itu sendiri untuk membuat keputusan dan tidak perlu ada akta yang menyekat mereka berbuat demikian.
“Ini satu keadaan yang saya nampak ada kegusaran dalam kalangan rakyat. Sewajarnya ada satu bentuk tindakan lain (yang menghalang lompat parti).
“Bila tiap-tiap kali ada musim atau krisis seperti ini, ada orang lompat parti. Tapi ada orang yang berpandangan, ini tidak ada masalah. Mungkin waktu itu orang itu (wakil rakyat) daripada pembangkang suka kepada kerajaan. Pandangan ini turut dikongsi masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, perbuatan tersebut memberi kesan negatif di mata pelabur asing melihat keadaan itu sebagai ketidakstabilan politik di negara ini. – UTUSAN ONLINE