SK Bukit Jenun ditutup, guru disahkan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

SK Bukit Jenun ditutup, guru disahkan positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jenun di Pendang dekat sini diarah tutup bermula semalam sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak dipercayai selepas seorang guru di sekolah itu disahkan positif Covid-19.

Notis Perintah Tutup Premis Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kerja-kerja sanitasi dilekatkan di sekolah tersebut.

Penutupan yang bermula pada pukul 2.30 petang, semalam itu dibuat mengikut Subseksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun lagi untuk hari keempat berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 52 individu ditahan semalam berbanding 58 individu icekup kelmarin dan 125 individu pada Selasa lalu.

“Daripada jumlah itu, 36 dikompaun manakala 16 direman dengan dua jenis kesalahan pula berkongsi kedudukan teratas masing-masing ada 12 kes,” katanya di sini semalam.

Kesalahan yang dilakukan ialah rentas kawasan tanpa izin dan tiada jarak fizikal, diikuti gagal memakai pelitup muka dan premis dibuka lebih masa yang masing-masing juga 11 dan lain-lain (enam).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 69,500 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,799 pasukan di seluruh negara.

Katanya, seramai 26 pendatang asing tanpa izin ditahan dan tujuh lagi diusir semalam melalui Operasi Benteng.

“Sepuluh kenderaan darat dirampas selain 115 bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 800 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 6,584 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 78 hotel serta 12 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya