Sindiket seludup beras dari India tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket seludup beras dari India tumpas

RIZAL Mohamed (kiri), Mohammad Ashik (kanan) dan Muhammad Shahril menunjukkan beras dari India yang dirampas di Pelabuhan Klang, Selangor. - UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Kegiatan sindiket pengedaran beras antarabangsa dari India sejak lebih enam bulan lalu tumpas dengan tertangkapnya dalang dalam Op Kontraban di Jalan Telok Gadong, di sini Sabtu lalu.

Serbuan di sebuah stor pada pukul 12.10 tengah malam itu menemukan 26 tan beras pelbagai jenama dari India dengan nilai semasa berjumlah RM1,101,370 dan cukai sebanyak RM1,460,604.

Turut ditahan dalam serbuan itu dua lelaki warga tempatan termasuk seorang daripadanya pemilik premis, kesemuanya berusia 26 hingga 38 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rizal Mohamed berkata, ketika serbuan dijalankan, ketiga-tiga mereka sedang memunggah guni berwarna putih dari sebuah kontena ke dalam premis tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 259 kampit beras, guni beras (78 kampit) dan kotak beras (60 kampit) pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dengan anggaran berat 13 tan berserta satu kontena.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di dalam gudang pula menemukan 459 kampit beras, 200 kotak beras dan 214 guni beras dengan anggaran berat 13 tan.

“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan melibatkan beras yang tidak bercukai bersama treler adalah lebih RM2.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kawal Selia Bernas Selangor, Mohammad Ashik Abdul Rahman dan Ketua Pencegahan dan Pemantauan Bernas, Datuk Muhammad Shahril Muhammad Adzmin.

Rizal berkata, siasatan yang dijalankan mendapati mereka bekerja dengan sindiket tersebut sementara warga India itu merupakan dalang selain merupakan penjaga stor.

Jelasnya, lelaki warga India itu telah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu dan memperoleh upah RM3,000 sebulan sebagai orang tengah pembekal beras dari negara tersebut.

“Kesemua tangkapan dan rampasan di bawa ke Balai Polis Klang untuk proses dokumentasi dan laporan polis sebelum diserahkan kepada pihak Bernas Selangor,” jelasnya.

Sementara itu Mohammad Ashik memberitahu, beras yang dirampas adalah termasuk jenis Basmathi Pusa 1121 yang berkualiti tinggi.

“Beras yang dibawa masuk ini tidak berada di pasaran tempatan itu dan mempunyai label yang mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Beras ini tidak mempunyai tulisan dalam bahasa Melayu selain tidak mempunyai gred dan sebagainya. Beras jenis ini dijual pada harga antara RM5.50 sehingga RM12 satu kilogram dan merupakan antara beras yang popular di negara mereka,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 552) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya