Sindiket proses, botol minuman keras tiruan ditumpaskan JKDM - Utusan Malaysia

Sindiket proses, botol minuman keras tiruan ditumpaskan JKDM

ABDUL Latif Abdul Kadir menunjukkan sebahagian minuman keras tiruan yang dirampas selepas sidang akhbar kejayaan JKDM mematahkan sindiket mengilang minuman keras tiruan di Kuala Sawah, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu sindiket mengilang minuman keras tiruan jenis bir berjaya ditumpaskan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit 1, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerusi serbuan di sebuah premis gudang di Kuala Sawah, Rantau, dekat sini pada 16 Mac lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sindiket berkenaan melibatkan aktiviti pemprosesan serta pembotolan secara haram dengan anggaran keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai dalam serbuan tersebut adalah sebanyak RM3.12 juta yang juga disifatkan beliau sebagai kejayaan terbesar setakat ini.

Jelasnya, serbuan di atas maklumat awam dan risikan itu dijalankan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan anggota kastam di sebuah premis gudang di Jalan Kuala Sawah, Kampung Ribu, Rantau dekat sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati gudang tersebut dijadikan kilang memproses dan membotol minuman keras tiruan pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.

“Ketika serbuan dilakukan, orang yang disyaki dikenal pasti sebagai pekerja telah melarikan diri kerana dapat mengesan kehadian anggota Kastam melalui beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kilang tersebut. Siasatan masih giat diteruskan bagi mengesan dalang utama sindiket ini untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, kuantiti minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 59,104 liter yang melibatkan nilai sebanyak RM344,644.80 dan jumlah duti serta cukai terlibat sebanyak RM1.952 juta.

“Turut disita adalah beberapa mesin memproses bahan mentah, set tangki penapaian, mesin label cap dagang dan peralatan makmal serta bahan mentah yang disyaki ‘malt’ yis, metanol, beberapa tong gas karbon dioksida dan satu unit ‘forklift’ di mana jumlah keseluruhan rampasan mesin dan peralatan dianggarkan berjumlah RM1 juta,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, sindiket berkenaan dipercayai membawa masuk peralatan dari luar negara bagi tujuan memproses minuman keras dan pembotolan secara haram.

“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket dalam kes ini adalah dengan menjadikan kawasan gudang di kawasan pedalaman sebagai lokasi untuk memproses minuman keras tiruan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Minuman keras tiruan pelbagai jenama tersebut dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dengan sasaran adalah kepada warganegara asing dan harga jualannya lebih murah berbanding harga pasaran sebenar,” katanya.

Ujar Abdul Latif lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 74 (1)(f) Akta Eksais 1976 iaitu dengan berpengetahuan mengambil bahagian dengan apa-apa cara dalam menyuling, menapai atau mengilang barang berduti.

Tegasnya, jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali amaun duti eksais atau RM 500,000.

Katanya, pesalah juga boleh dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya