SEREMBAN: Sebanyak 581 mesin bagi aktiviti melombong mata wang digital, bitcoin dengan nilai anggaran sebanyak RM1.6 juta dirampas dalam operasi bersepadu polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kesemua mesin yang dirampas hasil serbuan terhadap sembilan premis di Bandar Baru Nilai dan Bandar Enstek.
“Kami mendapati sindiket melakukan penyambungan elektrik secara curang untuk melombong bitcoin ini.
“Nilai taksiran awal kerugian di pihak TNB adalah sebanyak RM2.1 juta akibat aktiviti haram ini yang dijalankan selama hampir satu tahun,” katanya semalam.
Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan berdasarkan risikan polis dalam tempoh dua minggu di samping kerjasama dengan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB.
“Dua lelaki berusia 30-an dipercayai juruteknik sindiket itu turut ditahan dalam operasi. Ketika serbuan mereka sedang membuat penyelenggaraan ke atas mesin-mesin berkenaan,” katanya yang memberitahu modus operandi sindiket itu menggunakan premis di tingkat atas untuk mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 47 Kanun Keseksaan dan Seksyen 371 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN ONLINE