MARAN: Silat Lenggang Mak Janda bukan sebarang ‘lenggang’ kerana sudah melangkau hingga ke Belanda.
Begitulah keistimewaan seni silat yang berasal dari daerah Chenor di sini iaitu sebuah penempatan lama ratusan tahun menjadi pusat budaya, perdagangan, pentadbiran dan penyebaran Islam.
Silat Lenggang Mak Janda yang diadaptasi daripada langkah dan gerak seorang janda kaya Chenor sangat popular di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pewaris silat itu, Salehuddin Yaakob, 82, berkata, sejarah silat itu adalah ilham daripada gerak seorang janda kaya di Chenor semasa memancing ikan di Sungai Pahang.
Menurutnya, gaya melenggang Mak Janda, mencampak kail, membetulkan sanggul dan gerakan memintal tali kail diadaptasi dalam silat berkenaan.
Katanya, gerak geri tersebut seterusnya diberikan nama antaranya seperti memintal benang kusut, gerak helang belayar, gerak merbah berlaga, gaya sesibur dan langkah berpusing.
“Silat Lenggang Mak Janda mempunyai empat langkah utama iaitu campak atau tebar, langkah beliung tanggal, langkah gerak samun dan langkah teleng.
“Bagi generasi muda yang ingin mempelajari silat ini perlu bersabar menguasai setiap langkah kerana gerak tarinya lembut dan berseni.
“Apa tidaknya asal usul silat ini diadaptasi daripada gerak lenggang Mak Janda yang lemah lembut berjalan sambil memegang joran ke sungai,” katanya di sini semalam.
Salehuddin yang lebih dikenali sebagai Aki Salleh berkata, silat Lenggang Mak Janda hanya ada di Chenor.
Pengerusi Kelab Pelancongan Chenor (CTC), Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, individu dimaksudkan Mak Janda melenggang dalam silat itu kemungkinan seorang yang bernama Che Nor.
Ini kerana katanya, mengikut cerita lisan orang tua di sini sebelum Chenor mendapat namanya ada seorang janda bernama Che Nor cantik jelita menjadi sebutan dan rebutan jejaka tampan.
“Oleh kerana nama Che Nor disebut berulang-ulang, lama kelamaan daerah ini dikenali dengan nama baru Chenor,” katanya.