Sikap tunggu dan lihat punca ramai tidak mendaftar PICK - Utusan Malaysia

Sikap tunggu dan lihat punca ramai tidak mendaftar PICK

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sikap tunggu dan lihat menjadi punca pendaftaran dalam kalangan rakyat bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agak perlahan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati rakyat mengambil sikap menunggu biarpun program terbabit sudah dimulakan sejak Februari lalu.

“Selain itu, ada juga rakyat terutama di kawasan luar bandar langsung tidak tahu tentang PICK di mana saya dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba baharu sahaja turun ke kawasan masing-masing dan mengesan perkara itu.

“Dua faktor ini diambil kira dan kita (kerajaan) akan meningkatkan penyampaian dan komunikasi bagi memastikan kadar pendaftaran meningkat segera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khairy berkata, beliau berkeyakinan tinggi golongan terbabit akan segera mendaftar selepas melihat komuniti sekeliling yang sudah mendaftar dan menerima vaksin.

“Apabila mereka melihat saudara mara, jiran, kawan dan keluarga sudah mendaftar dan menerima vaksin, pastinya akan wujud kesedaran untuk mereka mendaftar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, seramai 6,155,213 rakyat yang berusia 18 tahun ke atas yang bersamaan 25.4 peratus sudah mendaftar sehingga tengah malam tadi.

Katanya, bagi yang sudah menerima vaksin, ia melibatkan seramai 428,710 orang iaitu 412,342 individu sudah menerima dos pertama manakala 16,368 individu sudah menerima kedua-dua dos yang diperlukan.

“Sebanyak 847,630 dos sudah dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di mana 426,935 janji temu sudah diaturkan mengikut jadual.

“Selangor menjadi negeri paling tinggi vaksinasi iaitu 53,935 dos diikuti Perak, 49,518 dos; Sarawak, 43,007 dos; Sabah, 41,058 dos dan Kuala Lumpur 36,316 dos.

“Bagi daerah tertinggi, Kuala Lumpur tertinggi iaitu 36,316 dos diikuti Kinta, Perak,17,056 dos; Petaling, 15,700 dos; Kuantan, 13,155 dos dan Timur Laut, Pulau Pinang, 13,040 dos,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN