Siasat punca anjing mati ditembak pistol angin - Utusan Malaysia

Siasat punca anjing mati ditembak pistol angin

LAW Euo Nan (kanan) bersama Chong Kwai Siew menunjukkan imbasan x-ray anjing yang ditembak mati menggunakan pistol angin pada sidang akhbar di bangunan MCA Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pihak berkuasa digesa menyiasat kes anjing jalanan mati ditembak di RPT Lim Tan, Tanjung Rambutan dekat sini yang menimbulkan kemarahan pencinta haiwan setempat.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, seekor anjing jalanan mati ditembak pihak tidak bertanggungjawab dipercayai menggunakan pistol angin berdasarkan penemuan peluru pada tubuh haiwan tersebut.

Pengadu, Chong Kwai Siew berkata, semasa kejadian pada pukul 1.30 petang itu dia berada di dalam kedai jahitnya sebelum terdengar bunyi tembakan.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia melihat anjing jalanan tersebut berlari ke arahnya dalam keadaan berlumuran darah dan terlihat kesan tembakan pada perut.

“Anjing jalanan ini bukan haiwan peliharaan saya tetapi berkeliaran di lorong belakang kedai saya dan sering memberinya makan.

“Haiwan ini juga jinak, jadi saya merasa sangat terperanjat apabila melihat keadaannya sedemikian.

“Apalah salah anjing ini sehingga ditembak,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA negeri Perak di sini hari ini.

Susulan kejadian tersebut, Kwai Siew telah membuat satu laporan di Balai Polis Tanjung Rambutan pada hari yang sama.

Difahamkan, ini merupakan kejadian kedua kerana pada Disember lalu seekor anjing jalanan di kawasan tersebut juga mati ditembak menggunakan pistol angin.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA negeri Perak, Law Euo Nan berkata, mana-mana pihak atau orang ramai tiada kuasa untuk membunuh haiwan sesuka hati dan menyebabkan penganiayaan.

Menurutnya, tindakan menembak mati haiwan tersebut amat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana haiwan dilindungi di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Disebabkan laporan polis sudah dibuat dan kami gesa siasatan dilakukan supaya pesalah segera diberkas.

“Malah, penggunaan pistol angin juga adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Kita bimbangkan keselamatan orang ramai kerana tindakan menembak haiwan sesuka hati boleh mengundang bahaya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya