Siapa nak tubuh kerajaan? - Pak Wan - Utusan Malaysia

Siapa nak tubuh kerajaan? – Pak Wan

MOHD. REDZUAN Md. Yusof (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pelajar selepas menyampaikan peralatan sekolah pada program ceria ke sekolah TNB tahun 2021 bagi Parlimen Alor Gajah di Dewan Anggerik Malaysia, Taman Koperasi Naning, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: “Kalau kita saling berpecah, siapa nak tubuh kerajaan?”

Itu respons Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berhubung ucapan Timbalan Presiden UMNO pagi tadi, bahawa parti itu tidak akan memperjudikan mana-mana kerusinya demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.

Mohd. Redzuan berkata, walau apa sahaja keputusan yang bakal diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Bersatu yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap menghormatinya atas prinsip demokrasi.

Beliau berkata, bagaimanapun, Bersatu tetap komited dan berpendapat kepemimpinan Melayu perlu dilestarikan kerana tanpa gabungan, sukar untuk Melayu terus memegang tampuk pemerintahan.

“Jadi, kena ada gabungan, kalau disebutkan jajaran baharu itulah bentuk kerajaan untuk masa depan. Adakah jajaran baru itu menguntungkan negara kita dari sudut pembangunan untuk semua rakyat?

“Saya berpendapat, kepemimpinan Melayu perlu dilestari. Jelas, sebab majoriti rakyat Melayu. Pembangunan ekonomi Melayu perlu dibangkitkan semula dengan hala tuju yang jelas. Itulah Bersatu hendak bawa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan alat persekolahan di Dewan Anggerik Malaysia, Taman Koperasi Naning di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 100 murid dalam Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena program Ceria ke Sekolah.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin.

Mohamad ketika merasmikan perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 menegaskan, kerusi UMNO adalah kerusi UMNO, dahulu, kini dan selamanya.

Beliau berkata, UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah dan perpaduan Melayu yang dibuat-buat.

Jelasnya, perpaduan ummah dan penyatuan Melayu mesti dipimpin oleh UMNO dan ia bukan umpan undi yang ditabur oleh pendusta politik, yang bernaung dengan ‘kuasa tanpa mandat’ dan tanpa kekuatan sebenar. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya