Syarikat hartanah Sheng Tai labur RM8 juta di Melaka 

Sheng Tai labur RM8 juta di Melaka 

MOHD. Ali Mohd. Rustam diberikan penerangan berkenaan projek penyediaan ruang kerja global terbesar di dunia di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Syarikat hartanah terkemuka, Sheng Tai International Sdn. Bhd. (Sheng Tai) membuat pelaburan sebanyak RM8 juta bagi projek penyediaan ruang kerja global terbesar di dunia. 

Pengasas dan Pengerusinya, Datuk Leong Sir Ley berkata, projek itu akan dilaksanakan di Metrasquare, Ayer Keroh di sini dengan jenama Regus dan Spaces dijangka bermula pada akhir tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu bagaimanapun hanyalah merupakan nilai pelaburan permulaan membabitkan pelaksanaan tiga projek dengan kerjasama International Workplace Group (IWG). 

“Kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk melabur bertepatan dengan prospek optimis pasca Covid-19 dan pandemik ini perlu dipandang dari sudut positif. 

“Justeru, kita telah bersetuju untuk mewujudkan industri ruang kerja yang fleksibel dengan pelaburan awal sebanyak RM8 juta,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian di antara Sheng Tai dan IWG yang disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Hotel Ames, di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Sheng Tai diwakili Sir Ley dan Pengarahnya, Collin Tan manakala IWG diwakili T. Vijayakumar dan Premita Dhaliwal. 

Mengulas lanjut, Sir Ley menambah, kerjasama yang terjalin dijangka dapat memperkasa dan meluaskan industri ruang kerja fleksibel di Malaysia. 

“Dalam keadaan ini kita lihat ramai orang daripada syarikat berjenama global yang mahukan lokasi strategik untuk dijadikan ruang kerja fleksibel dan kita akan jadikan projek Metrasquare ini sebagai salah satu trend baharu. 

“Dengan pembangunan unik serta dilengkapi kemudahan moden yang berkelas dunia, kami berada di dalam kedudukan terbaik untuk menarik perhatian usahawan dan syarikat multinasional yang cenderung kepada teknologi, memperkasa semula ekonomi di Melaka dan sekitarnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya