KUANTAN: Rakyat berpendapatan rendah termasuk yang terjejas ekoran penularan Covid-19 disaran mengambil peluang menyertai program mentor-mentee dilaksanakan Trizure International (M) Sdn. Bhd. berkonsepkan kongsi rezeki (Sharezeqi).
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu, hampir semua industri terjejas teruk yang turut menyaksikan rakyat hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Katanya, program itu dirangka Trizure bagi menyokong pertumbuhan semula ekonomi setempat dan membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah termasuk golongan B40 dan M40 menjana pendapatan menerusi perniagaan.
“Menerusi program ini, Trizure akan membantu usahawan sedia ada dan baharu mengembangkan potensi perniagaan. Mereka yang menyertainya akan digelar pemilik perniagaan bebas (IBO).
“Tiga bantuan bakal diberikan kepada usahawan yang menyertai program ini iaitu dalam bentuk pelaburan modal, bimbingan dan jaringan ekosistem,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zuhairi berkata, pelaburan modal yang diberikan adalah bersama dengan kemudahan pinjaman daripada entiti kerajaan atas perbincangan bersama manakala bimbingan adalah ‘mentoring’ dan ‘coaching’ dari segi ilmu pemasaran dan ilmu mengembangkan perniagaan.
Melalui kemudahan pinjaman katanya, Trizure akan menjadi penjamin dan memastikan IBO yang dibantu dapat mengembangkan perniagaan melalui jaringan ekosistem rakan kongsi strategik daripada pelbagai industri.
“Di samping itu jaminan bayaran balik setiap pinjaman oleh IBO adalah di bawah tanggungjawab Trizure.
“Trizure akan membuka ruang dan peluang ini kepada semua rakyat Malaysia. Untuk keterangan lanjut dan permohonan, sila ke laman www.trizure.my,” katanya.