Setia hingga hujung nyawa - Utusan Malaysia

Setia hingga hujung nyawa

NORFADZILAH Abdul Malek memberi susu khas kepada Muhammad Hatta Jahidin yang menghidap barah otak di Kampung Sungai Kluang, Rengit, Batu Pahat, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang isteri berikrar setia hingga ke hujung nyawa bagi menjaga suaminya yang koma dan disahkan menghidap barah otak sejak akhir tahun lalu.

Malah, Norfadzilah Abdul Malek, 30, mengambil keputusan berhenti kerja sebagai kakitangan syarikat swasta bagi menjaga Muhammad Hatta Jahidin, 40, dan tiga lagi anak mereka yang masih kecil.

“Saya reda dengan ketentuan Allah jika ini ujian yang diberikan kepada kami sekeluarga.

“Walaupun keadaan suami begitu, saya tetap menyayanginya dan sanggup menjaganya sepenuh jiwa serta raga saya hingga akhir hayat.

“Saya juga perlu menjaga tiga lagi anak yang masih bersekolah masing-masing berusia 12 dan sembilan tahun serta bayi berumur 10 bulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Sungai Kluang, Rengit di sini, semalam.

Kata Norfadzilah, dia kini memperoleh pendapatan tidak menentu hasil menjual kuih kapit yang diusahakan secara kecil-kecilan di rumah mereka.

Dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan sebagai penjaga orang terlantar manakala suaminya menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan untuk pesakit terlantar.

“Suami bergantung kepada susu khas untuk makan dan kosnya agak tinggi serta setiap bulan dia perlu mendapatkan rawatan di hospital. Malah kami terpaksa menyewa ambulans yang kosnya agak mahal.

“Saya juga perlu membeli susu, lampin pakai buang suami dan anak-anak serta barangan keperluan keluarga.

“Saya tidak mampu bekerja dengan orang lain dan duit yang ada itulah digunakan untuk membeli susu, lampin pakai buang suami dan anak-anak serta kelengkapan keluarga,” katanya.

Katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga ada menyumbang katil boleh laras dan kerusi roda kepada suaminya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Norfadzilah menerusi akaun 7617564611 atau menghubungi talian 012-729 3550. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya