Sertai SAR mangsa lemas, pelajar 14 tahun terima penghargaan polis - Utusan Malaysia

Sertai SAR mangsa lemas, pelajar 14 tahun terima penghargaan polis

MUHAMMAD Norman Haikal Mazlan menerima sijil penghargaan daripada Mohd. Zain Mat Dris sempena sambutan Hari Polis ke-214, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Keberanian seorang remaja berusia 14 tahun mengendalikan jet ski dan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Pantai Jambu Bongkok di sini, Disember lalu mendapat pengiktrafan polis.

Muhammad Norman Haikal Mazlan dari Chendering, Kuala Terengganu adalah antara penerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris sempena sambutan Hari Polis ke-214 peringkat daera, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Marang itu berkata, penglibatan julung kalinya dalam operasi SAR berkenaan adalah bagi membantu pasukan penyelamat berikutan keadaan laut bergelora yang menyukarkan pencarian menggunakan bot.

Katanya, dia bersama bapanya, Mazlan Mamat, 58, menggunakan jet ski mereka untuk membantu operasi berkenaan.

“Saya tidak sangka sumbangan kecil ini mendapat penghargaan polis sekali gus menyuntik semangat untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya pada masa hadapan.

“Saya mahir mengendalikan jet ski sejak berusia enam tahun lagi hasil tunjuk ajar ayah dan tiga abang yang merupakan pelumba jet ski,” katanya hari ini.

Sementara itu, Mohd. Zain berkata, kemampuan pelajar itu mengendalikan jet ski bersama bapanya membantu polis menamatkan misi pencarian mangsa lemas, Nashaifudin Wan Latif, 48, pada hari ketiga operasi SAR.

Katanya, Muhammad Norman Haikal bersama-sama kumpulan jet ski yang terdiri daripada polis marin dan orang awam menjumpai mayat mangsa kira-kira 500 meter daripada pesisir Pantai Jambu Bongkok pada pukul 6.30 petang, 27 Disember lalu.
.
“Dalam keadaan laut yang bergelora dan ombak kuat pada musim tengkujuh, wira cilik kita sanggup menggadaikan nyawa dan sikap ini wajar dicontohi anak-anak muda.

“Syabas kepada Muhammad Norman Haikal dan kita berharap lebir ramai anak muda yang dapat menabur bakti kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang tanpa mengharapkan balasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya