Sepasang kekasih didakwa langgar polis di parkir restoran makanan segera - Utusan Malaysia

Sepasang kekasih didakwa langgar polis di parkir restoran makanan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini terhadap dua tuduhan mencederakan seorang anggota polis dengan cara melanggarnya dengan kereta di parkir sebuah restoran makanan segera, tiga hari lalu.

Kekasihnya Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, pula mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan bersubahat melakukan perbuatan tersebut yang mana video kejadian itu tular di laman sosial, Selasa lalu.

Pertuduhan pertama, Muhammad Asraf Zulkefli, 19, didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Amirul Yahya yang sedang menjalankan tugas rondaan di parkir restoran itu di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini pukul 10.30 malam pada 9 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Asraf didakwa melakukan khianat dengan sengaja merosakkan handle bar, ekzos, rim sukan (sport rim) dan nombor pendaftaran belakang motosikal milik anggota itu sehingga menyebabkan kerugian RM1,060.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Umiezatul Asyikin turut didakwa atas dua pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan serupa pada waktu dan di tempat sama.

Gadis tersebut didakwa mengikut seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhd. Fauzan Mohd. Nor menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhammad Asraf sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jumlah jaminan yang sama turut ditawarkan kepada Umiezatul Asyikin.

Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret dalam prosiding itu membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan kes.

Kelmarin, media melaporkan tindakan sepasang kekasih melanggar anggota motosikal peronda ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di kawasan parkir restoran makanan segera itu menyebabkan anggota tersebut mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pada awalnya sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira pukul 10.30 malam sebelum mereka terserempak sebuah kereta Perodua Alza dengan enjin dihidupkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir itu.

Anggota terbabit yang menghampiri kereta berkenaan untuk membuat pemeriksaan dengan menyuluh serta mengetuk cermin kereta itu mendapati seorang lelaki dan wanita di dalamnya.

Sejurus selepas pasangan ini mengetahui kehadiran polis dan diarahkan keluar, lelaki itu terus memandu kereta dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal serta anggota yang berada di hadapan kereta berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya