PUTRAJAYA: Kesemua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet atas kesepakatan dan setelah menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, kesepakatan itu dicapai selepas Menteri-Menteri dari UMNO itu menemui beliau kelmarin bagi meminta nasihat mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet.
Kata beliau, ia berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, beberapa orang Menteri dari UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.
Justeru, Perdana Menteri tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet.
“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.- UTUSAN ONLINE