SEREMBAN: Isteri kepada anggota polis yang ditemukan mati selepas dipercayai menembak diri sendiri dan anak lelakinya terkilan tidak dapat bertemu dengan kedua-duanya buat kali terakhir sebelum menerima berita kematian dua beranak itu dalam keadaan tragis.
S. Gayathri, 38, berkata, sudah seminggu dia tidak bertemu dengan suaminya, J.Rajkumar, 35, dan anak lelakinya R.Jeveshkumar, 7, selepas dia keluar dari rumah mereka di Taman Cempaka, Senawang disebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka.
Gayathri berkata, sepanjang tempoh seminggu itu, dia tinggal sementara di rumah peninggalan ibu bapanya di Taman Bidara, dekat sini.
“Sebelum kejadian, saya ada terima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada suami yang mengatakan mahu berjumpa dengan saya di rumah emak (Taman Bidara).
“Pada mulanya saya sangat gembira sebab fikirkan dia akan pujuk saya, tapi sebaliknya saya terkejut apabila menerima berita suami dan anak lelaki mati dalam kereta. Mengapa dia sanggup tembak anak saya dan bunuh diri?,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Taman Cempaka, Senawang di sini hari ini.
Jelas Gayathri, selama seminggu ketiadaannya, ibu mentuanya dari Kuala Lumpur datang ke rumah mereka di Seremban dan menjaga anak-anak.
Gayathri yang mendirikan rumah tangga bersama suaminya itu pada 2009 berkata, sepanjang mendirikan rumah tangga selama 12 tahun, mereka tidak pernah berpisah tetapi kadangkala berlaku salah faham.
“Biasalah dalam rumah tangga memang akan ada masalah antara suami isteri, sebelum ini kalau dua hingga tiga hari saya merajuk mesti dia akan pujuk dan bercakap dengan saya dan tidak pernah berlaku pergaduhan besar.
“Tetapi kali ini saya tidak sangka dia sanggup bertindak seperti ini dan pada hari kejadian hati saya sudah tidak senang,” katanya.
Jelas Gayathri, sebelum kejadian, Rajkumar yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dikatakan mengambil cuti selama seminggu manakala anaknya Jeveshkumar yang bersekolah darjah satu di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Seremban tidak ke sekolah.
Lokshan Raj adalah anak tiri anggota polis tersebut hasil perkahwinan Gayathri sebelum ini.
Dalam kejadian 6.42 petang semalam (25 Mac) seorang anggota polis berpangkat koperal ditemui mati selepas dipercayai menembak mati anak lelakinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam kejadian bunuh diri di Jalan Widuri 1, Kampung Sentosa Jaya dekat sini.
Mayat anak beranak itu dijangka akan dihantar ke tempat pembakaran mayat di Jalan Templer, dekat sini, esok. (27 Mac).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mayat mangsa berusia 35 tahun dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah menembak diri sendiri dengan menggunakan senjata api jenis pistol PS99 selepas menembak anaknya.
“Dua beranak berkenaan ditemukan dengan kesan tembakan di kepala dan polis percaya kejadian berlaku adalah bunuh diri dan bunuh,” katanya.
Menurut Mohd. Said, polis turut menemukan dua kelongsong peluru di tempat kejadian dan pihak forensik masih menjalankan siasatan untuk mengesan anak peluru sama ada dalam badan mangsa atau kereta.
“Setakat ini tiada kesan tembusan dikesan pada kereta Proton Wira tersebut.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun dipercayai ia berkaitan dengan masalah keluarga,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh memandangkan mangsa menembak mati anaknya dan laporan mati mengejut untuk bunuh diri dengan menembak diri sendiri. – UTUSAN ONLINE