LUMUT: Seramai tujuh perwakilan Umno Bahagian Lumut diketuai Setiausaha Bahagian, Mohd. Shahril Yahaya, hari ini mengikuti lintas langsung secara maya Perhimpunan Agung UMNO 2020 dari Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di Seri Manjung di sini hari ini.
Kesemua mereka hadir seawal pukul 8 pagi bagi mengikuti perhimpunan tahunan itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di ibu negara kali ini dan ditayangkan secara langsung menerusi satu layar besar dalam bilik tersebut.
Mohd. Shahril berkata, lintas langsung bermula pukul 8 pagi menerusi upacara menaikkan bendera di luar dewan merdeka sebelum perhimpunan bermula sejam kemudian dalam dewan tersebut.
“Sepanjang 75 tahun perhimpunan tahunan UMNO, ini pertama kali diadakan secara maya. Memanglah lebih meriah dibuat secara bersemuka di WTC tapi secara maya ini okey juga sebab ada kelainan.
“Kita jangka perhimpunan ini sehingga pukul 7 malam nanti dan kita turut memberi peluang kepada semua ahli UMNO Lumut untuk datang ke sini petang ini bagi mengikuti persidangan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Shahril menyarankan agar lintas perhimpunan secara maya itu dapat diteruskan pada tahun depan walaupun selepas pandemik Covid-19 berakhir nanti.
“Mungkin bagi perwakilan lebih sesuai pergi ke WTC, tetapi lintas langsung ini wajar diteruskan bagi membolehkan ahli UMNO lain berkumpul bersama-sama bagi mengikuti perhimpunan tahunan ini.
“Jika berkumpul semangatnya lain sedikit seperti boleh menyanyi lagu beramai-ramai, berbanding jika menonton bersendirian di kedai kopi atau di rumah masing-masing,” jelasnya.
Seorang perwakilan, Mahadzir Muhamad, 46, pula berkata, walaupun ada perasaan terkilan tidak dapat hadir di Dewan Merdeka, semangat mengikuti perhimpunan itu tetap utuh demi meneruskan perjuangan parti.
“Sudah tentu ada rasa terkilan sebab suasananya berbeza berbanding jika hadir sendiri di Dewan Merdeka,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN ONLINE