SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneliti isu berkaitan tindakan Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dari pasaran dihasilkan di sebuah syarikat di Jeram, Kuala Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu berkenaan melibatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Kita akan semak perkara tersebut terutama berkaitan polisinya nanti,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Pasar Moden Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.
Semalam, Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm, Jeram Selangor.
Agensi Makanan Singapura (SFA) menerusi laman sesawangnya menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk itu yang boleh menyebabkan penyakit sekiranya dimakan secara mentah atau separuh masak.
Susulan penarikan produk itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan akan membuat penilaian kesan terhadap bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam perkembangan berasingan, Amirudin berkata, Selangor akan tetap meneruskan pelaksanaan aplikasi SELangkah yang didakwa berkemungkinan akan digantikan sepenuhnya dengan MySejahtera.
“Kita sedia berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penggunaan sistem itu yang terbukti berkesan dalam pengesanan kontak rapat pesakit Covid-19. Saya tidak faham mengenai tindakan ini (isu aplikasi SELangkah) yang seolah-olah ada niat politik dan tidak fikir kesejahteraan rakyat.
“Jika fikir yang terbaik untuk rakyat, kita boleh berbincang dan akan selarikannya (sistem berkenaan),” katanya.