PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 1, 268 kes positif Covid-19 sekali gus mengatasi kes sembuh yang mencatatkan 1,083 kes.
Sebanyak empat kluster dan dua kematian direkodkan manakala kes aktif pula, 14,637 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 161 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 73 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 490 kes diikuti Sarawak, 141 kes dan Johor, 135 kes.
“Negeri yang merekodkan kes dua angka pula iaitu Pulau Pinang, 99 kes; Negeri Sembilan, 59 kes; Kuala Lumpur, 53 kes; Melaka, 52 kes; Kedah, 49 kes; Kelantan, 49 kes; Sabah, 45 kes; Pahang, 43 kes dan Perak, 42 kes.
“Selain itu, Putrajaya, enam kes; Terengganu, empat kes; Labuan, satu kes dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, dua kes kematian melibatkan warga tempatan di Selangor.
“Kes melibatkan dua lelaki berusia 43 dan 77 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.
“Antaranya, darah tinggi, buah pinggang kronik, dislipidemia, gout, dan strok,” katanya.
Mengulas mengenai empat kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan dua kluster tempat kerja, dan masing-masing satu kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.
Katanya, dua kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Wawasan Dua di Batu Pahat, Johor, 24 kes dan Kluster Industri Permata Dua di Seremban, Negeri Sembilan, 51 kes.
“Kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Alam melibatkan Kuala Langat, Klang, dan Petaling, Selangor, seramai 97 individu telah disaring dan 16 kes dikesan positif.
“Bagi kluster komuniti pula, Kluster Chupak melibatkan Serian dan Samarahan, Sarawak, seramai 338 individu telah disaring, iaitu 57 kes positif,” katanya.
Tambahnya, lapan kluster tamat hari ini iaitu Kluster Kubang Jambu, Kluster Jalan Geronggang, Kluster Bukit Tengah, Kluster Pangkal Changgong, Kluster Ladang Segama, Kluster Tapak Bina Jalan Abdul Aziz, Kluster Jalan Dato Yunus, dan Kluster Tapak Bina Jalan Emas. – UTUSAN ONLINE