PETALING JAYA: Industri hospitaliti dan pelancongan terus merudum jika kerajaan tetap melaksanakan larangan rentas negeri di seluruh negara.
Dikhuatiri, kebanyakan pengendali hotel dan pengusaha pelancongan tidak dapat bertahan lama walaupun sukar untuk kerajaan membuat pilihan sama ada memberi kelonggaran tersebut atau sebaliknya kerana pandemik Covid-19 belum pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata, perintah tersebut dilihat menyekat aliran pendapatan mereka walhal ketika ini pemain industri bergantung sepenuhnya dengan pasaran domestik bagi memastikan perniagaan tidak ‘gulung tikar’.
“Ketidaktentuan larangan rentas negeri yang menyebabkan industri pelancongan kehilangan semua punca pendapatan sangat bergantung kepada pasaran domestik.
“Sektor ini mengalami kerugian lebih setahun dan tidak apat bertahan lebih lama lagi sekiranya larangan rentas negeri berpanjangan pada masa yang sama sempadan negara masih tidak dibuka untuk pelancong luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Larangan rentas negeri tanpa kebenaran masih berkuat kuasa di seluruh negara. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKP hanya akan dilaksanakan mengikut lokaliti dan tertumpu kepada kluster berkaitan.
Dalam pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kelmarin (Rabu), industri pelancongan menerima pelbagai manfaat antaranya pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan pengendali hotel sehingga hujung tahun ini.
Dalam pada itu, ditanya perkembangan setakat ini selepas kerajaan menukarkan status pergerakan rentas beberapa negeri dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Lip Seng, ia tidak memberi perubahan ketara.
“Walaupun hujung tahun lalu kadar penginapan meningkat tetapi disebabkan PKP kedua ia jatuh mendadak. Pada masa ini purata kadar penginapan di seluruh negara hanya 27 peratus sahaja manakala kadar penginapan hotel sejak PKP kedua telah jatuh di bawah 20 peratus. Hanya sedikit peningkatan sahaja apabila keadaan beransur pulih di negeri-negeri PKPP,” katanya. – UTUSAN ONLINE