PUTRAJAYA: Pengusaha sektor pelancongan tempatan mendapat ‘berita gembira’ apabila dibenarkan kembali untuk beroperasi bermula esok, namun dengan pelbagai syarat ketat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Malah, apa yang agak unik kali ini, syarikat bas persiaran menerima banyak faedah apabila perlu digunakan setiap pelancong yang mahu merancang percutian dengan merentas negeri.
“Kaedah ini dikenali sebagai gelembung pelancongan bersasar domestik yang dicadangkan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pergerakan pelancong tersebut hanya dari negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri lain yang juga berstatus PKPP.
Ketika ini ada lima negeri dan dua Wilayah Persekutuan mendapat taraf sebagai PKPP iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Perlis serta Putrajaya dan Labuan sejak 5 Mac lalu.
Beliau menambah, sekiranya bas persiaran itu perlu melalui negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kenderaan tersebut tidak boleh berhenti singgah.
“Sebab itulah, pelancong ini tidak boleh memandu kereta sendiri dan mesti naik bas persiaran berdaftar dengan kementerian dan lawatannya diurus agensi berlesen kementerian,” katanya.
Pihak pengusaha bas dan agensi terbabit kata Ismail Sabri, harus mendapat surat kebenaran dari polis untuk merentas negeri selain program aktiviti pelancongan yang telah disusun atur.
Pelancong itu juga hanya boleh tinggal di tempat penginapan seperti hotel yang memang telah berdaftar dengan pihak kementerian tersebut supaya memudahkan pemantauan pergerakan.
Agensi dan pengusaha kenderaan pelancongan terbabit ujarnya, mestilah berdaftar dengan kementerian itu, tetapi tiada pergerakan percutian dari negeri PKPB ke negeri PKPB yang lain.
Maklumat lanjut mengenai segala SOP yang terperinci kata beliau, boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi pihak kementerian berkenaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam pada itu katanya, mesyuarat teknikal MKN semalam turut bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB kepada PKPP yang juga akan bermula pada esok.
“Langkah ini setelah dengar cadangan kerajaan negeri Kedah memandangkan daerah pulau ini sudah jadi zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu,” katanya.
Kelonggaran itu kata Ismail Sabri, berdasarkan model gelembung pelancongan, tetapi Kedah masih lagi berstatus PKPB seperti tujuh negeri lain dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE