BATU PAHAT: Tiada penutupan sekolah dan sesi pembelajaran serta pengajaran diteruskan seperti biasa walaupun terdapat 41 kluster Covid-19 dikesan di semua peringkat institusi pendidikan, sejak 1 Januari lalu.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ini termasuk sesi persekolahan menengah yang bermula 4 dan 5 April ini berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, pihaknya meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa supaya pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selamat.
“Kalau kita teliti data yang diberikan itu jumlah keseluruhan dan berlaku di pelbagai institusi serta perkara itu seperti mana yang kita tekankan, kami di kementerian sentiasa mengikut SOPditetapkan.
“Kita ikhtiarkan yang terbaik supaya kehadiran murid di sekolah untuk ikuti pembelajaran dapat dijalankan dalam keadaan selamat.
“Insya-Allah kita teruskan usaha untuk melihat dan memantau SOP dari semasa ke semasa supaya sesi sekolah ini dapat berlangsung dan dapat diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Peruntukan Penyelengaraan Sekolah di Parlimen Batu Pahat di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE