Sebanyak 1,671 kes positif: 4 kematian; 4 kluster - Utusan Malaysia

Sebanyak 1,671 kes positif: 4 kematian; 4 kluster

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 1,671 kes baharu positif Covid-19 sekali gus mengatasi kes sembuh sebanyak 1,585 kes.

Sebanyak empat kematian dan empat kluster baharu direkodkan dengan kes aktif iaitu 14,442 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 64 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor merekodkan pertambahan sebanyak 652 kes diikuti Pulau Pinang, 328 kes; Sarawak, 154 kes; Johor, 130 kes dan Sabah, 102 kes.

“Baki negeri lain merekodkan kes dua angka iaitu Kuala Lumpur, 78 kes; Kelantan, 63 kes; Kedah, 46 kes; Perak, 37 kes; Terengganu, 32 kes; Negeri Sembilan, 25 kes dan Melaka, 18 kes.

“Empat negeri pula Pahang, tiga kes; Labuan, tiga kes; Putrajaya, sifa kes dan Perlis juga, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, empat kes kematian melibatkan warga tempatan dengan dua kes di Selangor manakala Sabah dan Kedah, masing-masing satu kes.

“Kes melibatkan tiga lelaki dan satu wanita berusia antara 47 hingga 83 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Antaranya, Glioblastoma Multiforme, darah tinggi, jantung, kencing manis, kolestrol, strok dan paru-paru obstruktif kronik,” katanya.

Mengulas mengenai empat kluster baharu, beliau berkata, dua kluster tempat kerja dan dua kluster komuniti di Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Perak.

“Dua kluster tempat kerja ialah Kluster Teluk Air Tawar melibatkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Teluk Air Tawar, Butterworth, Seberang Perai Utara, di mana 33 kes dikesan positif manakala Kluster Perindustrian Pekan Nanas di Pontian, Johor melibatkan pekerja sebuah kilang yang terletak di Taman Perindustrian Pekan Nanas, Pontian, dengan 39 kes dikesan positif.

“Dua kluster komuniti pula, Kluster Tanjung Genting di Meradong, Sarawak, 22 kes dan Kluster Pulau Pisang di Perak Tengah, Perak, 15 kes dikesan positif,” katanya.

Tambahnya, 10 kluster tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Pasar, Kluster Jalan Bakawali Ramun, Kluster Kampung Hala, Kluster Jalan Tanjung Enam, Kluster Jalan Wawasan 14, Kluster Jalan Perusahaan Satu, Kluster Jalan Kuchai, Kluster Tapak Bina Seksyen Satu, Kluster Tapak Bina Persiaran Sepang, dan Kluster Jalan Kewajipan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya