PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan kepada semua kaum wanita di negara ini bersempena dengan Hari Wanita Sedunia hari ini.
Baginda bertitah, wanita wajar diraikan kerana mereka sudah menghadapi pelbagai jenis cabaran yang ditempuhi terutamanya sepanjang menghadapi pandemik Covid-19.
“Wanita mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dengan kekuatan yang diberikan Allah, itulah istimewanya kita wanita.
“Pandemik yang melanda negara pada masa ini menguji kehidupan kita semua dan disinilah kita melihat kekuatan seorang insan bergelar wanita walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, wanita tetap mampu bangkit dan cekal serta berjaya keluar dari cabaran tersebut,” titahnya menerusi video yang disiarkan secara rasmi melalui akaun Facebook milik Istana Negara.
Justeru, bersempena dengan Hari Wanita, baginda menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menghargai, menyayangi, menghormati serta berlemah lembut dengan wanita.
“Sebagai seorang isteri, ibu permaisuri dan wanita pertama negara, saya ingin meningatkan wanita kita semua, sayangi dan hargailah diri kita sendiri, love yourself dan dengan ini anda akan menjadi insan bahagia dan hebat, wanita yang bahagia sudah pasti mampu membawa kebahagiaan kepada semua insan di sekelilingnya.
“Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan kita dan keluarga, baik kesihatan fizikal mahupun mental, sejahtera wanita sejahteralah negara. Selamat Hari Wanita buat semua wanita di Malaysia,” titahnya. -UTUSAN ONLINE