'Saya dah beri amaran kepada Bersatu' - Utusan Malaysia

‘Saya dah beri amaran kepada Bersatu’

DR. MAHATHIR Mohamad ketika meninjau kawasan persekitaran Pantai Chenang di Langkawi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau sebelum ini telah memberi amaran awal kepada kepimpinan parti itu mengenai kesan kerjasama dengan UMNO sebelum ini.

Menurutnya, beliau percaya Bersatu yang merupakan sebuah parti baharu dapat menjalinkan hubungan dengan UMNO iaitu sebuah parti yang kuat dan telah lama bertapak di negara ini.

Bagaimanapun katanya, pemimpin Bersatu tidak mengambil perhatian terhadap amarannya itu dan mereka percaya dapat menangani sebarang masalah yang berbangkit dalam kerjasama tersebut.

“Saya bagi amaran bukan senang bagi Bersatu hendak bekerjasama dengan UMNO, UMNO lebih kuat daripada Bersatu dan Bersatu parti baharu, jadi mereka kata boleh tangani masalah.

“Sekarang ini kita lihat, UMNO tidak mahu Bersatu, dan dia pun ada masalah dengan parti lain, parti Pas juga ada masalah. Jadi sekarang mereka hadapi masalah yang menyebabkan krisis politik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Pantai Chenang di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Ahad lalu meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Usul Ucapan Dasar Presiden itu diluluskan sebulat suara selepas dicadangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan disokong Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Perhimpunan itu juga bersetuju dengan gesaan akar umbi dan kepimpinan supaya PRU-15 diadakan segera bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk menjamin kemakmuran negara kembali di landasan dan kehidupan rakyat disejahterakan.

Selain itu, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, UMNO perlu bergabung dengan parti-parti lain sekiranya ingin mencapai kemenangan pada PRU-15 nanti.

“Saya khuatir pada pilihan raya nanti, tidak akan ada satu parti yang dominan dan kerajaan (selepas PRU-15) akan jadi seperti sekarang, perlu bergabung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya