PUTRAJAYA: Sasaran sekurang-kurangnya penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat masih belum tercapai di sektor swasta walaupun dasar itu telah diperkenalkan sedekad lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sehingga Oktober tahun lalu, hanya 17.2 peratus daripada keseluruhan 937 syarikat mencapai sasaran tersebut.
Bagaimanapun, sektor awam telah mencapai sasaran melebihi 30 peratus yang mana pada masa ini berada 37.3 peratus, namun berharap ia boleh ditingkatkan dan dilestarikan.
“Penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan sesebuah organisasi, bukanlah bersifat ‘penyeri halaman’, tetapi pandangan, kepakaran serta ketelitian mereka adalah salah satu penyebab kepada tadbir urus serta keputusan pelaburan yang lebih baik bagi syarikat.
“Inilah juga masanya untuk kerajaan melihat keperluan menubuhkan institusi pengajian tinggi dan bank khusus untuk wanita bagi membawa agenda pemerkasaan wanita lebih jauh ke hadapan sekali gus memberi ruang membangun potensi anak-anak gadis sebagai peneraju pembangunan negara.
“Di samping itu, kerajaan komited untuk menubuhkan Majlis Wanita Negara untuk memperkasakan wanita, dan menolak sebarang diskriminasi gender,” katanya dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Wanita 2021 secara maya hari ini.
Menurut Rina, perjalanan bagi mengangkat agenda wanita di Malaysia masih jauh dan berliku walaupun hakikatnya telah banyak inisiatif dilakukan dan membawa perubahan kepada wanita saban tahun.
Sebagai contoh katanya, pada tahun lalu, sebanyak 969 program khusus untuk wanita, melibatkan seramai 400,438 orang dilaksanakan Jabatan Pembangunan Wanita.
Beliau menjelaskan, beberapa inisiatif penting akan menjadi tumpuan kementerian dalam masa terdekat menerusi hasil tinjauan Institut Sosial Malaysia pada Julai 2020 yang mendapati rata-rata wanita memerlukan sokongan berbentuk kursus-kursus kemahiran yang memberikan mereka peluang untuk menjana pendapatan.
“Justeru, inisiatif ini akan dilandaskan kepada kerangka 4K Pemerkasaan Wanita yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita iaitu menyediakan peluang kemahiran, memfokuskan kepada pengukuhan kewangan, mengangkat kepentingan aspek keseimbangan, dan memberikan keutamaan kepada usaha-usaha untuk mencapai kesaksamaan dan kepimpinan kendiri.
“Kerangka inilah yang menjadi asas kepada pembentukan program pemerkasaan wanita, yang mana, antara fokus pelaksanaannya bagi tahun 2021 termasuklah meningkatkan kerjasama erat, dengan lebih ramai pihak dalam aspek perlindungan wanita,” katanya.
Rina berkata, ini termasuk memperkasakan penglibatan komuniti dalam menyokong keperluan rakyat dari sudut psikososial, meningkatkan peluang menjana pendapatan dan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan wanita B40 melalui pelbagai saluran kerja.
Katanya, jaringan komunikasi dan penyampaian maklumat akan diperkukuhkan antara kementerian dengan kumpulan sasar sehingga ke peringkat akar umbi melalui kolaborasi dengan lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita. -UTUSAN ONLINE