Sasar peningkatan penduduk di Kuala Pilah, Tampin - Utusan Malaysia

Sasar peningkatan penduduk di Kuala Pilah, Tampin

AMINUDDIN Harun melihat pameran draf Rancangan Tempatan Daerah Tampin dan Kuala Pilah selepas merasmikian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Tampin dan Kuala Pilah di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berharap terdapat peningkatan dalam bilangan penduduk Tampin dan Kuala Pilah bagi membolehkan rancangan pembangunan kedua-dua daerah itu lebih mapan menjelang 2035.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berbanding Seremban dan Port Dickson, pertumbuhan penduduk di Kuala Pilah dan Tampin masih lagi kecil, sehubungan itu, pelbagai pembangunan kini dirancang termasuk kawasan industri bagi menarik lebih ramai untuk tinggal di dua daerah berkenaan.

Selaras dengan itu, katanya, draf rancangan tempatan kedua-dua daerah itu kini dipamerkan bagi mendapat pandangan penduduknya.

“Kedua-dua daerah ini kami melihat penduduknya kurang ramai dan berkenaan pertumbuhannya agak kecil berbanding Seremban dan Port Dickson. Kami harus merancang untuk menambahkan bilangan penduduk pada 2035.

“Jika mampu, kerajaan negeri mahu meningkatkan bilangan penduduk di kawasan ini, dengan adanya pembangunan akan meningkatkan penduduk. Kami menyasarkan sebanyak 100,000 penduduk di Kuala Pilah dan Tampin sebanyak 90,000, kami mahu melihat pertambahan penduduk untuk menarik orang yang tinggal di Tampin dan bekerja di Seremban termasuk kawasan-kawasan yang dirancang termasuk kawasan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Tampin dan Kuala Pilah di Bandar Sri Sendayan dekat sini hari ini.

Rancangan Tempatan Daerah (RTD) tersebut merupakan peta dan pernyataan bertulis disokong oleh garis panduan pelaksanaan yang menjelaskan semua cadangan perancangan guna tanah dan fizikal bagi daerah Tampin dan Kuala Pilah menjelang tahun 2035.

“Peranan orang awam sangat penting kerana mereka bertindak sebagai pengguna bagi setiap cadangan yang dikemukan dalam RTD tersebut.

“Selaras dengan ini, Seksyen 16 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 atau Akta 1972 memperuntukkan supaya pihak kerajaan mendapat maklum balas dari masyarakat awam sebelum memuktamadkan dan mewartakan sesuatu rancangan tempatan,” jelas Aminuddin.

Ujarnya, program publisiti dan penyertaan awam tersebut dijalankan selama sebulan bermula di ruang legar Majlis Daerah Tampin dan Kuala Pilah dan pejabat PlanMalaysia@Negeri Sembilan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja.

Bilangan penduduk di Kuala Pilah kini mencecah 78,000 manakala 94,000 penduduk di Tampin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN