ARAU: Masalah akses internet, penguasaan teknologi khususnya dalam kalangan warga emas serta kefahaman antara faktor masih ramai dalam kalangan rakyat di Perlis terutama di kawasan-kawasan kampung menghadapi kekangan mendaftar untuk program penerimaan vaksin Covid-19.
Sehubungan itu, inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri menerusi kempen ‘Jom Daftar Vaksin Covid-19’ di seluruh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Perlis dijangka dapat menyasarkan lebih 10,000 pendaftaran suntikan tersebut dalam tempoh sebulan.
Pengarahnya, Zulkhairi Zainal berkata, pihaknya akan turun padang bagi membantu penduduk khususnya di seluruh 138 KRT di negeri itu untuk mendaftar program vaksinasi berkenaan.
Katanya, kebanyakan penduduk khususnya warga emas di kawasan-kawasan kampung menghadapi kekangan untuk mendaftar program vaksinasi tersebut kerana tidak tahu dan tidak mempunyai kemudahan seperti gajet dan internet untuk berbuat demikian.
“Kita akan bantu mereka (penduduk) dengan memberikan borang untuk diisi kemudian, kita membantu mereka mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. Daripada segi kesedaran (daftar) itu ada, cuma ada dalam kalangan mereka menghadapi kekangan tersebut.
“Insya-Allah, kita sasar 10,000 penduduk di kawasan KRT di seluruh Perlis ini mendaftar dalam tempoh sebulan menerusi program yang kita jalankan ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Malaysia Prihatin : Komuniti KRT Vaksin di Dataran RPA Arau di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat negeri, Siti Berenee Yahaya dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Rozieana Ahmad dan Pengerusi KRT RPA Arau, Khalid Ahmad.
Sementara itu, Siti Berenee berkata, program yang dilaksanakan itu cukup baik dalam memberi kesedaran dan membantu proses pendaftaran program vaksinasi tersebut dalam kalangan penduduk di negeri ini.
“Di Perlis, apa yang saya lihat, kebanyakan penduduk bersetuju untuk menerima suntikan vaksin tersebut dan bagi mereka yang tidak tahu proses pendaftaran, kita akan bantu menerusi program-program seperti ini.
“Setakat ini, difahamkan sudah lebih 3,000 dalam kalangan jawatan kuasa KRT di negeri ini sudah mendaftar dan ia akan diperluaskan agar jumlah pendaftaran terus bertambah dengan sasaran 10,000 sehingga April,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid pula berkata, penduduk menyokong program vaksinasi tersebut dan ramai dalam kalangan mereka di kawasan ini sudah mendaftar.
“Program vaksinasi itu cukup penting dalam mencegah penularan Covid-19 di negara ini dan kita akan terus memberikan sokongan,” katanya.-UTUSAN ONLINE