KOTA BHARU: Jabatan kesihatan negeri menyasarkan sekitar 70 peratus daripada 1.9 juta penduduk di Kelantan atau 1.3 juta orang mendaftarkan diri untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera sepanjang tahun ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jika nama telah disenaraikan sebagai penerima vaksin, orang ramai dinasihatkan menghadiri temu janji mengikut tarikh ditetapkan dan tidak membatalkan hasrat di saat-saat akhir.
“Sekiranya boleh, jangan tolak suntikan setelah nama anda disenaraikan. Anda mesti mengikut arahan berdasarkan jadual kerana kami tidak mahu membuang dos.
“Orang ramai tidak perlu bimbang tentang kesan sampingan, malah tiada aduan kesan sampingan serius daripada individu yang telah menjalani vaksinasi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Dr. Zaini memberitahu, antara kesan sampingan diadukan penerima vaksin kepada pihaknya ialah berasa sakit dan mengalami bengkak di tempat yang dicucuk selain berasa lenguh-lenguh badan.
“Itu hanya kesan sampingan biasa manakala kesan sampingan yang teruk seperti memerlukan penerima dimasukkan ke hospital, Alhamdulillah setakat ini di Kelantan tiada kes seperti itu,
“Setakat ini juga tiada kes melibatkan individu membatalkan hasrat divaksin pada saat-saat akhir di negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zaini memberitahu, seramai 11 kakitangan kesihatan didapati positif Covid-19 di Kelantan sejak awal tahun ini dan mereka semua dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kesemuanya telah ditempatkan di beberapa hospital di negeri ini secara berperingkat dan hari ini, jabatan belum menerima kes baharu melibatkan kakitangan kesihatan negeri,” katanya.
Beliau turut memberitahu, lebih 1,000 individu di negeri ini dijadual menerima dos kedua vaksin yang dijadual pada 23 Mac depan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. -UTUSAN ONLINE