PUTRAJAYA: Malaysia terus konsisten menunjukkan keseimbangan kes Covid-19 di bawah 2,000 kes dengan merekodkan 1,576 kes positif dan 1,996 kes sembuh.
Sebanyak dua kematian direkodkan dengan terdapat penurunan kes aktif iaitu 14,360 kes berbanding semalam, 14,782 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sarawak hari ini mengatasi Selangor dengan merekodkan kes tertinggi iaitu 407 kes diikuti Selangor, 348 kes; Pulau Pinang, 182 kes; Kuala Lumpur, 175 kes; Johor, 137 kes dan Perak, 100 kes.
“Baki negeri lain merekodkan kes dua angka iaitu Melaka, 54 kes; Kelantan, 52 kes; Negeri Sembilan, 41 kes; Sabah, 33 kes; Kedah, 25 kes; Pahang, 13 kes manakala Terengganu, enam kes, Labuan, dua kes; Putrajaya, satu kes dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE