SAR enam pemancing hilang diperluas hingga perairan Kuantan - Utusan Malaysia

SAR enam pemancing hilang diperluas hingga perairan Kuantan

RASHIDILHADI Abd. Rashid (kanan) menjelaskan situasi semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepada ahli keluarga enam pemancing yang dikhuatiri hilang di Zon Maritim Malaysia Kemaman di Kemaman hari ini. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Kemaman kini diperluaskan hingga ke perairan Kuantan, Pahang.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kawasan pencarian tertumpu di perairan Kuantan hingga Kertih dengan menggunakan aset KM Pekan dan KM Gemia.

Katanya, operasi hari kedua hari ini turut dibantu satu pesawat udara AS365N3 Dauphin dari Stesen Udara Maritim Subang berikutan keadaan angin kencang dan laut yang bergelora.

“Kita masih belum menemukan sebarang petunjuk lokasi bot nelayan kelas A yang dinaiki enam pemancing berkenaan dan kita dimaklumkan keluarga mangsa, kali terakhir telefon bimbit seorang daripadanya dapat dihubungi adalah petang semalam.

“Kita percaya mungkin bot berkenaan tidak hanyut jauh ke tengah laut dan masih berada dalam perairan negara,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Malaysia Kemaman di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama enam kru termasuk tekong dikhuatiri hilang di perairan ini selepas terputus hubungan, sejak kelmarin.

Mangsa yang terlibat ialah Mohd. Hafizol Hisham Zakaria, 29; Mohd. Samerin Suhaimi, 29; Rosidi Mohamad, 22; Mohamad Zulkarnain Mohamat Nor, 20; Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19, dan Mohamad Shahrul Ainmie, 19.

Rashidilhadi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bot mangsa hanyut ke arah selatan ke Pulau Tioman berikutan tiupan angin dari utara timur laut.

Katanya, keadaan cuaca buruk berikutan ribut dan hujan menyukarkan operasi menyelamat mangsa dengan ombak setinggi lima meter berserta angin kencang.

Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia telah berhubung dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Tanjung Gelang, Kuantan dan Polis Marin untuk bekerjasama dalam operasi tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya