ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan menyatakan kerajaan negeri di bawah pimpinannya meluluskan pembalakan baharu di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Sebaliknya, jelas beliau, kelulusan pembalakan di kawasan seluas 200 hektar di Kompartmen 12, hutan simpan tersebut sudah lama diberikan kepada Yayasan Islam Kedah (YIK) iaitu pada 2017.
“Sejak kami mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei tahun lalu, belum ada satu pun kelulusan baharu diberikan untuk kerja-kerja pembalakan.
“Kena faham, proses penebangan balak ambil masa lama. Ada yang lulus pada 2005 dulu tetapi kini masih dalam proses melesenkan tebangan.
“Gambar tular dalam media sosial itu menunjukkan tempoh lesen iaitu antara 26 November 2020 hingga 25 Mei 2021 dan bukannya tarikh kelulusan diberi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ada dalam kalangan pihak tertentu yang turut mempersoalkan mengapa kerajaan kini tidak membatalkan saja kelulusan tersebut.
“Saya nak maklumkan, apabila kelulusan dibuat, mereka telah membayar premium dan mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan. Semua itu melibatkan kos.
“Kalau kita batalkan, mereka boleh saman dan saya dimaklumkan, ada negeri yang disaman hingga tak mampu menjelaskan denda ditetapkan. Akhirnya mereka ambil jalan selesaikan luar mahkamah lalu terpaksa beri kawasan baharu pula,” katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 75,000 hektar kawasan pembalakan telah diluluskan oleh kerajaan negeri terdahulu sejak 2014 hingga 2020.
“Lesen tebangan akan dikeluarkan mengikut kuota ditetapkan Majlis Tanah Negara iaitu Kedah cuma boleh menebang balak di kawasan seluas 4,000 hektar saja setahun.
“Itu bermakna negeri ini memerlukan masa 18 tahun untuk menghabiskan kesemua 75,000 hektar tebangan balak tersebut. Kalau pun kita luluskan pembalakan sekarang, mungkin perlu 19 tahun akan datang baru boleh tebang,” katanya. -UTUSAN ONLINE