PETALING JAYA: Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi antara empat individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden samun lima kotak rokok, pemetik api dan gula-gula dari sebuah kedai serbaneka di Kelana Jaya dekat sini, Ahad lalu.
Turut ditahan, dua orang awam termasuk seorang wanita.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, suspek wanita berusia 36 tahun dikatakan memasuki premis kedai serbaneka di kawasan SS 6 di sini dengan memakai jaket polis dan mengambil beberapa barang dalam premis tanpa membuat sebarang pembayaran.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mangsa iaitu pekerja kedai tersebut meminta suspek membuat pembayaran dengan segera, namun, suspek memberikan alasan bahawa pegawai atasannya akan datang untuk membuat pembayaran dalam tempoh satu jam.
Katanya, bagaimanapun, suspek kemudian terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta peronda polis Honda Civic.
“Hasil risikan dan maklumat pada hari sama, sepasukan polis dari Balai Polis Kelana Jaya telah menahan dua anggota polis di IPD Dang Wangi, berusia 31 dan 38 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes yang disiasat.
“Siasatan terhadap seorang anggota terbabit berjaya menahan suspek wanita yang disyaki melakukan samun dan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, semakan mendapati suspek wanita itu memiliki tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah manakala suspek lelaki mempunyai lima jenayah lampau dan lapan kes dadah.
Tambahnya, semua suspek direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara 14 tahun dan denda serta sebatan.- UTUSAN ONLINE