Salur peruntukan tambahan kepada sekolah bagi penyediaan keperluan SOP - Utusan Malaysia

Salur peruntukan tambahan kepada sekolah bagi penyediaan keperluan SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kerajaan diminta menyalurkan peruntukan tambahan kepada sekolah-sekolah atau persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk penyediaan keperluan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Mohamad Asri Shafii berkata, lazimnya pihak sekolah akan memohon peruntukan daripada PIBG untuk tujuan tersebut.

Katanya, perbelanjaan yang perlu digunakan adalah bagi membeli keperluan peralatan tambahan seperti pengimbas suhu, isi semula cecair pembasmi kuman selain penyediaan sinki mengikut kapasiti murid di sesebuah sekolah.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, PIBG juga menghadapi kekangan ketika ini khususnya daripada soal kutipan sumbangan untuk persatuan tersebut selepas sekolah kerap ditutup sebelum ini berikutan Covid-19.

“Kita berharap kerajaan dapat memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan pematuhan SOP di sekolah-sekolah ini.

“Bagi sekolah elit, PIBG mereka mungkin mampu mengeluarkan peruntukan untuk penyediaan keperluan pematuhan SOP itu namun bagaimana dengan sekolah luar bandar yang kekurangan peruntukan.

“Sebagai contoh, setiap bulan difahamkan cecair pembasmi itu perlu diisi semula dengan sekolah yang mempunyai 500 murid sekurang-kurangnya memerlukan kira-kira lima liter cecair dengan harga sekitar RM300 mengikut jenama. Itu tidak termasuk keperluan lain,” katanya.

Tambah Mohamad Asri, peratusan jumlah sumbangan PIBG kebelakangan ini adalah sekitar 45 hingga 70 peratus sahaja

Katanya, duit sumbangan tersebut juga digunakan bagi membantu daripada segi keceriaan sekolah, aktiviti akademik dan kokurikulum, penyelenggaraan segera, kebajikan dan pelbagai aktiviti lain.

“Peruntukan tambahan itu sekurang-kurang dapat meringankan beban PIBG atau sekolah bagi menyediakan keperluan tersebut sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang entah bila akan berakhir.

“Malah, kita sekarang perlu menjalani suasana norma baharu khususnya dari segi pematuhan SOP dengan keperluan pematuhan SOP itu akan berterusan. Peruntukan tambahan itu dilihat wajar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN