KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya mengenal pasti enam mangsa yang terlibat dalam kejadian runtuhan komponen kren sehingga pukul 1.00 petang hari ini.
Menurut Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi penyelamatan bagi menyelesaikan misi menyelamat yang dijangka berakhir tengah malam ini.
Katanya, mangsa terdiri daripada 4 orang pekerja asing yang mana dua orang dilaporkan selamat manakala dua yang lagi meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang warga tempatan adalah pemandu Perodua Bezza dilaporkan cedera parah di bahagian kaki dan dihantar ke hospital yang berdekatan.
“Seorang mangsa dikesan terhimpit di atas struktur runtuhan manakala dua yang lain meninggal dunia akibat terjatuh dari ketinggian sekurang-kurangnya 120 kaki,” katanya.
Hari ini, struktur kren tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan di projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Nordin berkata, pihaknya menjangkakan operasi menyelamat mangsa yang terhimpit mungkin mengambil masa selama tiga jam.
“Kita jangkakan ada laporan terbaru berkaitan mangsa yang terhimpit selepas tiga jam nanti.
Sementara itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, apa yang berlaku sekarang adalah pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Apabila mereka melaksanakan kerja ini, ada kejadian tidak diingini yang berlaku.
“Kita sudah mengarahkan untuk memberhentikan apa sahaja kerja kecuali kerja-kerja menyelamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE