JOHOR BAHRU: Pekerja penghantar barang dicekup polis selepas cuba meragut lelaki yang sedang berjalan kaki di tepi jalan besar Taman Teratai Kangkar Pulai, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pada pukul 9 pagi, mangsa yang berusia 20 tahun didatangi suspek yang menunggang motosikal dari arah belakang.
Katanya, suspek bertindak menyambar telefon bimbit yang dipegang mangsa di tangan kanannya, namun, tidak berjaya.
“Menyedari tindakan suspek, mangsa cuba melawan dan berlaku pergelutan hingga menyebabkan mangsa mengalami luka di kedua-dua tangan dan lutut.
“Beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut telah memberi pertolongan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, suspek yang memakai jaket dan topi keledar warna hitam mula panik dengan kehadiran orang ramai lalu melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di tempat kejadian.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan pekerja kedai telefon bimbit itu tidak mengalami sebarang kerugian dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Gerakan mengesan suspek telah dijalankan, sepasukan polis daerah Iskandar Puteri telah berjaya menangkap suspek di sebuah tempat mencuci kereta di kawasan Kangkar Pulai selepas setengah jam laporan dibuat.
“Motosikal yang digunakan semasa kejadian telah dirampas sebagai barang bukti,” katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang dinaiki suspek adalah milik kakak iparnya manakala nombor pendaftaran yang digunakan adalah milik motosikal ayahnya.
Tambahnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam soal siasat awal yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut,” katanya yang memaklumkan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE