Rumah Jambi tunggu masa roboh - Utusan Malaysia

Rumah Jambi tunggu masa roboh

RUMAH Jambi di Kampung Pasir Gajah, Kemaman yang berusia hampir 90 tahun terbiar usang dan tiada usaha dilakukan mana-mana pihak bagi mengekalkan produk warisan sejarah itu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Rumah Jambi yang di Kampung Pasir Gajah di sini dahulunya merupakan antara produk pelancongan terkenal di daerah ini, namun kini kediaman bersejarah berusia hampir 90 tahun itu hanya menunggu masa menyembah bumi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rumah milik anak Raja Jambi, Engku Mahmud Tengku Abu Bakar itu semakin usang dengan dinding yang dimakan anai-anai berikutan tiada sebarang penyelenggaraan mahu pun inisiatif untuk memulihara warisan sejarah dilakukan mana-mana pihak.

Anaknya, Tengku Abd. Jabar Engku Mahmud, 69, berkata, sebelum ini segala kerosakan ditanggung pihaknya, tetapi timbul kekangan kewangan jika membabitkan kerja-kerja pembaikan yang memerlukan perbelanjaan besar.

Katanya, arwah bapanya yang berasal dari Sumatera menetap di kampung itu selepas melarikan diri ke Tanah Melayu bersama para pengikut ketika diserang tentera Belanda dalam Perang Dunia Pertama yang meletus pada 1914.

“Adik-beradik arwah ada membina rumah Jambi termasuk di Parit Raja, Johor dan di Kuala Selangor, Selangor tetapi semuanya sudah runtuh kerana tiada usaha untuk membaik pulih, jadi seboleh-bolehnya kita tidak mahu perkara sama berulang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Rumah Jambi dibina pada 1933 dan seni binanya mempunyai pengaruh Islam, Jambi, Melayu Johor, Melayu Terengganu dan Inggeris.

Struktur atapnya dikatakan diimport dari Malibar, India melalui Singapura dan proses membawa barangan itu ke Kampung Pasir Gajah mengambil masa dua tahun dengan menggunakan tongkang.

Tengku Abd. Jabar turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi tampil membantu memulihara tinggalan sejarah yang amat berharga itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN